Tuesday, September 28, 2010

BN ada peluang 50:50 rampas DUN Galas







KUALA LUMPUR, 28 Sept — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan Umno-BN mempunyai “peluang 50:50” untuk merampas semula kerusi tersebut daripada PAS pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya SPR dijadual bermesyuarat dalam waktu terdekat untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi BN ini menjangkakan saingan sengit daripada PAS yang memenangi kerusi itu dua tahun lalu.

“Kami ada rekod (di Galas). Kami pernah menang dan pernah kalah, jadi peluang adalah 50:50,” kata beliau lagi.

Sambil berkata BN tidak akan memandang mudah, Muhyiddin berkata: “Kami akan meletakkan calon terbaik, yang akan diputuskan oleh pucuk kepimpinan.”

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, calon Umno akan datang dari bahagian Gua Musang sendiri dan berharap ketuanya Tengku Razaleigh Hamzah akan memastikan kemenangan parti.

Kerusi itu kosong ekoran kematian Che Hashim Sulaima dari PAS semalam.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada BN dengan majoriti 646 undi.

Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Pakatan Rakyat mempunyai 39 kerusi manakala BN pula enam di DUN Kelantan.

Tengah hari tadi, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub percaya bahawa parti Islam itu akan terus menerajui kerusi Dewan Undangan Negeri Galas dengan memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Beliau berkata bahawa selama ini partinya sudah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi pilihan raya umum dan jentera parti sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

Sumber : The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment