Sunday, May 2, 2010

Najib minta penduduk Sibu undi BN demi masa depan lebih terjamin


SIBU, 2 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberikan mesej yang mudah tetapi amat penting kepada penduduk Sibu — undi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini.

“BN patut menjadi pilihan demi harapan dan masa depan lebih terjamin,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di bandar Sungai Merah di sini.

Turut mengiringi beliau ialah calon BN Robert Lau Hoi Yew, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin parti komponen BN.

Najib berkata beliau, Taib dan semua menteri dan wakil rakyat BN akan memberikan sokongan padu kepada Lau, yang lebih mesra dengan gelaran Robert Lau Junior di kalangan penduduk, dalam menjalankan tanggungjawab jika dipilih.

Beliau juga berkata Sibu mempunyai potensi untuk membangun lebih pesat lagi berdasarkan kemahiran keusahawanan yang dimiliki penduduknya.

“Penduduk Sibu, terutamanya kaum Foochow, memang terkenal dengan kemahiran berniaga, mahir dalam perdagangan, sedia untuk bekerja keras dan semangat kental mereka untuk berjaya, yang diwarisi daripada nenek moyang mereka,” katanya.

Semua kualiti itu, kata Najib, ditambah pula dengan komitmen dan keupayaan BN untuk melaksanakanya, selaras dengan bandar itu untuk membangun dengan lebih pesat lagi.

Najib berkata anggota Parlimen Sibu dan Timbalan Menteri Pengangkutan sebelum ini, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew merupakan contoh terbaik semangat Foochow yang dipaparkan melalui khidmatnya kepada rakyat, bandar, negeri dan negara.

“Mendiang merupakan seorang daripada pemimpin yang benar-benar komited untuk memperbaiki kehidupan penduduk Sibu dan pentadbiran BN.

Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (centre) together with Sarawak Chief Minister Tan Sri Abdul Taib Mahmud (left) and BN candidate Robert Lau Hui Yew (behind Najib, right) in Kampung Bandung, Sibu today.



“Saya hanya mendapat tahu baru-baru ini bahawa beliau sebenarnya sakit semasa beliau mengiringi saya melakukan tinjauan mesra di Sibu Central Market dalam lawatan saya kira-kira sebulan setengah lepas. Namun beliau tetap mengiringi saya,” katanya.

Semangat mendiang akan terus hidup dalam diri penggantinya, Robert Lau Junior, yang akan menunjukkan komitmen sama untuk berkhidmat kepada rakyat, katanya.

Najib juga berkata beliau menjadikan Sungai Merah sebagai perhentian pertamanya dalam melakukan tinjauan mesra itu kerana beliau mahu memberi pengiktirafan terhadap sumbangan kaum Cina yang merupakan penduduk awal di kawasan itu dalam membangunkan bandar itu khususnya, dan negeri dan Negara amnya.

Bandar itu yang terletak kira-kira 7 kilometer dari sini, merupakan kawasan pendaratan pertama kaum Foochow di bawah pimpinan ketua mereka Wong Nai Siong pada 1901, dan kaum Heng Hua apabila mereka tiba dari China pada awal abad lepas.

Dari sini mereka kemudiannya berpindah ke kawasan lain di negeri ini.

Terdahulu, sejurus tiba di sini, Najib menghabiskan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan ratusan penduduk yang datang menyambut ketibaan beliau.

Beliau juga sempat menikmati kopi di dua buah kedai kopi.

Kemudiannya pada majlis pemimpin bersama rakyat di SK Bandaran Sibu No 3 di Kampung Bandong, Najib berkata semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama atau sama ada mereka dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak akan mendapat manfaat daripada konsep 1 Malaysia yang diilhamkannya.

“Ia umpama seperti berteduh di bawah satu bumbung, terlindung daripada bahang matahari dan hujan. 1 Malaysia ialah ikatan perpaduan bagi kita semua,” katanya.

Najib berkata beliau mengilhamkan konsep itu kerana terdapat keperluan untuk semua untuk saling berkompromi jika mahu negara terus menikmati pembangunan pesat dan lebih makmur lagi.

“1 Malaysia adalah satu ikatan yang tak boleh dirungkai, dimaki hasut atau dibawa ke hala tuju yang lain,” katanya.

Najib turut menyentuh mengenai pertemuan beliau baru-baru ini dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan berkata beliau merupakan satu-satunya pemimpin dari Asia Tenggara yang diberikan peluang itu.

"Saya tidak tunduk kepada beliau sepertimana didakwa oleh parti pembangkang.

"Hakikatnya, Presiden Obama mahu berjumpa saya. Dalam pertemuan kami, beliau meminta saya menjelaskan mengenai Model Ekonomi Baru negara," katanya.

Beliau mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan penyokong pembangkang yang menurut beliau akan berkampung di sini untuk mereka-reka cerita dan memutarbelitkan fakta menjelang pilihan raya kecil ini.


Perdana Menteri berkata rakyat sepatutnya memberi tumpuan untuk membina masa depan mereka.

"Lagipun, kita semua tahu apa yang mampu dilakukan BN, telah lakukan dan akan lakukan untuk semua," katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM35,000 masing-masing bagi 10 surau dan RM40,000 masing-masing bagi lapan sekolah agama Islam di sini.

No comments:

Post a Comment