Friday, April 9, 2010

Calon MIC bukti BN tetap amal perkongsian kuasa



Parti komponen diminta sokong wakil tanding Hulu Selangor

BATU PAHAT: Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MIC pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor adalah bukti jelas bahawa amalan perkongsian kuasa di dalam parti itu terus kukuh, kata Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, walaupun lebih separuh daripada pengundi di Hulu Selangor adalah orang Melayu, keputusan meletakkan calon MIC adalah tepat dan perlu disokong oleh semua parti komponen BN.

"Ia adalah bukti jelas BN meneruskan amalan perkongsian kuasa. Saya berkeyakinan orang Melayu di Hulu Selangor akan memberikan sokongan mereka terhadap calon BN," katanya selepas melawat projek pembinaan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, keputusan meletakkan calon MIC itu diambil atas semangat setiakawan serta selepas mengambil kira faktor kawasan itu ditandingi oleh calon MIC sebelum ini.

Pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac lalu. Ia akan berlangsung pada 25 April ini selepas proses penamaan calon pada 17 April.

Mohd Puad berkata, apa yang penting ketika ini adalah memastikan calon BN di Hulu Selangor itu memperoleh kemenangan pada pilihan raya kecil itu.
Sehubungan itu, katanya, pengundi sewajarnya bijak membuat pilihan kerana undian mereka bukan hanya sekadar untuk memilih wakil rakyat tetapi juga adalah untuk memilih kerajaan yang berkemampuan menjadi juara rakyat. –

No comments:

Post a Comment