Sunday, April 18, 2010

Peluang cerah BN tawan Hulu Selangor


19 APRIL — Kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sudah masuk hari ketiga. Kempen masih tenang dengan jentera Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusaha meraih sokongan pengundi.

Tidak seperti sebelum penamaan calon, nada pakatan pembangkang agak keras, kini semakin lembut apabila menyedari pengundi menunjukkan sikap positif menyebelahi BN berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Semuanya mungkin kerana pembangkang gagal memukul canang dengan isu tempatan untuk menarik pengundi memilih mereka, apatah lagi pembangkang yang memerintah Selangor gagal melaksanakan tanggungjawab selepas diberi mandat dua tahun menerajui kawasan itu sebelum penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia, 25 Mac lalu akibat barah.

Mereka juga mungkin tahu pengundi mula sedar selama ini tertipu dengan janji manis yang gagal dikotakan.

Seperti kata seorang warga tua ketika ditemui pada kempen BN di Hulu Bernam kelmarin, “Pak cik berasa tertipu pilih pembangkang pada PRU 2008. Kali ini pakcik sedar dan akan memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa perumahan di kawasan tempat tinggal pak cik.”

Sama ada keluhannya mewakili kebanyakan pengundi di Hulu Selangor tidak dapat dipastikan, tetapi kebelakangan ini banyak nadanya seperti itu.

Isu dibawa pembangkang kali ini isu nasional yang kurang menarik. Antara isu dibangkitkan PKR ialah isu APCO, 1 Malaysia dengan One Israel dan yang terbaru mengenai dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalihkan nama 13,400 pengundi ke kawasan lain.

Mengenai isu dibangkitkan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengundi di Hulu Selangor menunjukkan petanda positif dan faham pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“The feel good factor sudah mula terasa. Yang penting bukan slogan. Kita tidak boleh bandingkan 1 Malaysia dengan One Israel. Sebab ramai rakyat Malaysia mula menggunakan slogan itu, pembangkang mula memutar belit isu ini untuk permainan politik mereka,” kata Muhyiddin.

Begitu juga soal calon yang diketengahkan pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim dari PKR. Tukang kempen pakatan pembangkang kali ini terpaksa bekerja keras membersihkan isu peribadi calon mereka terlebih dulu sebelum dapat ‘menyerang’ BN dalam kempen.

Oleh itu, tidak hairan apabila dengan nada marah, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mencabar BN mengemukakan bukti yang mendakwa calon parti itu sebagai kaki botol tegar.

Keadaan berbeza dengan calon BN, P Kamalanathan, yang dilihat mampu menarik golongan muda dan pemilihannya dianggap tepat dalam usaha menarik seberapa ramai pengundi muda menyokong BN 25 April ini. — Berita Harian

1 comment: