Friday, April 23, 2010

Peluang penduduk baiki kesilapan

http://media.themalaysianinsider.com/images/stories/2010jan4/juara05-jan9.jpg

ESOK, kira-kira 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor akan membuat keputusan penting, siapakah yang akan mereka pilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Walaupun ia hanyalah satu perhitungan bagi merebut sebuah kerusi, namun kemenangan atau kekalahan mana-mana parti mampu memberikan impak yang besar.

Bermula dengan pertarungan empat penjuru pada hari penamaan calon, 15 April lalu, jumlah calon akhirnya tinggal dua orang apabila dua lagi calon Bebas menarik diri.

Berikutan penarikan diri tersebut, calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan akan berhadapan secara langsung dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang mempunyai tanggungjawab berat mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada tahun 2008, BN yang telah menguasai kawasan tersebut selama 11 penggal terpaksa tunduk kepada PKR dengan majoriti 198 undi. Pelbagai kemelut dan masalah yang berlaku ketika itu termasuklah di peringkat pentadbiran kerajaan pusat memungkinkan BN kecundang di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka.

Tetapi sekarang senario sudah berubah. BN dikatakan berada dalam momentum yang cukup positif untuk memastikan Hulu Selangor tidak menjadi kawasan yang terus dipersia-siakan oleh pakatan pembangkang yang hanya tahu melemparkan janji.

Pengundi-pengundi di Hulu Selangor perlu memahami betapa pentingnya pilihan raya kecil tersebut. Mereka perlu membuat keputusan yang tepat kerana sebarang kesilapan dalam soal itu boleh memberikan kesan negatif kepada mereka.

Dalam soal ini, mereka harus menjadikan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai azimat untuk memastikan mereka tidak lagi menjadi mangsa yang diperbodohkan oleh parti pembangkang.

Renungkanlah gelagat pembangkang sepanjang kempen berlangsung. Tidak ada satu pun perancangan yang mereka bentangkan berkaitan usaha memajukan Hulu Selangor, sebaliknya apa yang mereka lakukan ialah terus menyerang Kerajaan Pusat. Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN, semuanya tidak betul biarpun ia demi kesejahteraan rakyat.

Pembangkang yang kehabisan modal untuk berhadapan dengan BN di Hulu Selangor sanggup melemparkan apa sahaja fitnah. Mereka masih lagi berhasrat menggunakan taktik 2008 iaitu menimbulkan persepsi supaya rakyat membenci BN.

Tetapi itulah perangai pembangkang yang diketuai oleh PKR, disertai oleh DAP dan dituruti oleh Pas. Mereka tidak ada apa-apa agenda untuk pengundi-pengundi Hulu Selangor, selain menjanjikan berita-berita berunsur fitnah yang penuh sensasi.

Justeru, pengundi-pengundi di kawasan itu tidak harus terperdaya kerana sebarang tindakan menyokong pakatan pembangkang hanya akan merugikan mereka sendiri.

Mereka sudah mendengar sendiri jaminan Najib bahawa kerajaan BN akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang pilihan raya itu ditunaikan dan ia akan diawasi secara langsung oleh seorang menteri iaitu Datuk Noh Omar.

Janji itu dilafazkan oleh seorang Perdana Menteri bukannya seorang penasihat parti yang hanya bijak memutar belitkan fakta atau presiden parti yang tidak mempunyai apa-apa kuasa, tetapi janji berkenaan dibuat oleh seorang Perdana Menteri yang juga ketua kepada sebuah kerajaan.

Oleh itu janji yang dibuat oleh Najib jauh lebih bermakna berbanding cakap-cakap kosong pemimpin-pemimpin pembangkang yang hanya hadir untuk meraih undi dan kemudiannya meninggalkan penduduk Hulu Selangor terkontang-kanting.

Peluang perlu diberikan kepada BN untuk membuktikan komitmennya. Memang Najib mengetahui bahawa di kalangan rakyat ada kerisauan sama ada janji itu akan dilaksanakan atau tidak, sebab itulah beliau melantik Noh bagi menunjukkan keseriusan kerajaan.

Ia bermakna pengundi-pengundi sudah diberi satu jaminan oleh Perdana Menteri sendiri bahawa mereka tidak akan sia-sia dan kehadiran BN di Hulu Selangor bukan sekadar menaburkan janji kosong bagi meraih undi seperti mana dilakukan oleh pembangkang.

Pengundi-pengundi perlu melihat BN sebagai sebuah parti yang kukuh serta berkemampuan membela nasib mereka. Ia bukannya sebuah parti yang ditubuhkan semata-mata merebut kuasa.

Ini berbeza dengan pakatan pembangkang yang walaupun berbeza ideologi politik tetap mahu bergabung kononnya dengan melaungkan harapan baru kepada rakyat dan Malaysia perlu diselamatkan.

Tetapi hakikatnya, pakatan itu penuh dengan kecelaruan, dalam memilih calon bertanding di Parlimen Hulu Selangor pun sudah bermasalah. PKR memutuskan dengan kehendak DAP, manakala Pas pula tidak berupaya berkata-kata tetapi diminta membuat kerja.

Malahan kelemahan pembangkang itu begitu ketara di Selangor, banyak janji yang dibuat pada pilihan raya umum termasuklah di Hulu Selangor tidak ditunaikan, tetapi apabila hendak diadakan pilihan raya di kawasan itu, barulah hendak menunjukkan keprihatinan yang luar biasa.

Senario ini membuktikan pakatan pembangkang tidak boleh menjadi sandaran kepada penduduk untuk membela nasib mereka. Sebaliknya, rakyat perlu memberi peluang kepada BN yang dipimpin oleh Najib.

Pengundi-pengundi di Hulu Selangor perlu memahami bahawa BN sudah belajar banyak perkara apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kuasa di empat buah negeri termasuk Perak selama 11 bulan. Dari situlah, Najib muncul dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengundi adalah 'raja', begitulah juga Najib yang sudah berkali-kali menegaskan bahawa rakyat perlu diberi keutamaan dalam apa hal sekali pun.

Oleh itu, pengundi-pengundi Hulu Selangor tidak perlu bimbang jika mereka membuat keputusan memilih BN, apatah lagi bukanlah sekali pilih ia bermakna sampai kiamat kawasan berkenaan akan dikuasai oleh BN. Maksudnya, jika BN gagal menunaikan janjinya maka mereka berhak menolak parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Tetapi pokok pangkalnya, pengundi perlu memberi peluang kepada calon BN, P. Kamalanathan untuk membuktikan kemampuannya dengan dibantu oleh Kerajaan Pusat. Mereka jangan tertipu dengan hujah-hujah pembangkang kononnya calon mereka lebih berpengalaman dan berprofail tinggi.

Apa gunanya mempunyai kedua-dua kelebihan itu kalau parti yang diwakili semakin kelam-kabut dan berada dalam satu pakatan yang tiada masa depan. Ini berbeza dengan Kamalanathan, biarpun tidak berprofail tinggi tetapi pengalaman bersama rakyat tidak ada kurangnya.

Lebih penting daripada itu, Kamalanathan adalah wakil kepada BN yang menerajui Kerajaan Pusat. Ia bermakna apa juga yang dijanjikan oleh beliau atau BN pasti mampu ditunaikan. Yang penting bak kata calon BN tersebut, ''berilah saya satu peluang akan saya buktikan."

Semoga pengundi-pengundi di Hulu Selangor tidak mengulangi kesilapan 2008 kerana yang merasai kesengsaraannya bukan pemimpin-pemimpin pembangkang yang datang untuk menabur janji tetapi pengundi yang termakan dengan janji palsu mereka.

No comments:

Post a Comment