Saturday, April 10, 2010

MEB Perlu Kurangkan Kos Sara Hidup

MEB Perlu Kurangkan Kos Sara Hidup

Dari Dr Khir Toyo

1. Pelancaran prinsip-prinsip Model Ekonomi Baru Malaysia (MEB) pada 30 Mac 2010 lalu harus dilihat sebagai kesungguhan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi nafas baru kepada ekonomi negara dan usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah.

2. Menurut ucapan Perdana Menteri, MEB akan menekankan lapan prinsip asas iaitu, menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi; Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing; Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing; Memperkukuhkan sektor awam; Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan; Meningkatkan sumber pertumbuhan; Memastikan pertumbuhan yang mapan.

3. Kesemua yang disebut ini bukanlah sesuatu yang sangat baru kerana sebahagiannya telah pun disentuh dalam oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melancarkan Wawasan 2020 kira-kira 20 tahun lalu.

4. Apa yang penting ialah iltizam Perdana Menteri untuk melaksanakan apa yang beliau ucapkan ini dalam bentuk tindakan bukan sekadar perbincangan akademik dan wacana politik semata.

5. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas jaminan beliau bahawa dasar affirmative ke atas kaum bumiputera tidak akan ditarik balik.

6. Sebaliknya apa yang kerajaan perlu lakukan ialah menilai semula kaedah membantu kaum bumiputera dengan memberi lebih keutamaan kepada bumiputera luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan.

7. MARA harus memainkan peranan pro aktif dalam menyusun semula strateginya agar lebih banyak bumiputera mendapat faedah daripada dasar kerajaan. Sehingga hari ini apakah pernahkan diadakan satu kajian yang lengkap dan terperinci menilai prestasi MARA sama ada jaya atau gagalnya agensi tersebut dalam membantu bumiputera keluar dari arus kemiskinan? Jika belum inilah masalahnya melakukannya.

Masalah Kemiskinan Sejagat

8. Selain isu bumiputera, pengumuman kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan semua kaum sangat dialu-alukan.

9. Menurut Perdana Menteri, pelbagai strategi akan dilaksanakan melalui MEB yang antara lain melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun. Khabarnya ia juga akan memfokuskan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah.

10. Sungguhpun usaha ini menampakkan keprihatinan kerajaan dalam mengeluarkan sebahagian rakyat daripada paras kemiskinan, namun kerajaan tidak boleh mengharapkan bahawa kemiskinan akan selesai melalui matlamat meningkatkan kadar pendapatan perkapita semata.

11. Peningkatan pendapatan perkapita tidak akan menyelesai masalah jika kita gagal menstabilkan jurang pendapatan. Jurang pendapatan yang terlalu besar akan menyebabkan pendapatan per kapita tidak mencerminkan realiti di bawah. Akan ada kumpulan yang mempunyai pendapatan terlalu tinggi dan ada pula yang menerima pendapatan terlalu rendah sehingga menyebabkan unjuran pendapatan per kapita tidak mencerminkan taraf sosio ekonomi majoriti rakyat.

12. Salah satu kaedah meningkatkan pendapatan tanpa meningkatkan inflasi yang tinggi bagi negara membangun seperti Malaysia ialah melalui peningkatan produktiviti. Tanpa peningkatan produktiviti, kenaikan pendapatan hanya pada matawang bukannya pada kuasa beli.


13. Kadar peningkatan produktiviti Malaysia pada 2008 hanyalah 2.9% berbanding China (7.8%), Korea(3.6%), Indonesia (3.5%), India (3.4%), dan Filipina (3%). Bagaimanapun kerendahan "productivity growth" tidaklah begitu serius kerana kesemua negara ini kecuali Korea mempunyai nilai produktiviti yang lebih rendah dari Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.

14. Peningkatan pendapatan juga jika tidak diawasi akan mudah menyebabkan inflasi sekaligus menyebabkan kos sara hidup makin tinggi sehingga melampaui paras kenaikan pendapatan. Jika ini berlaku kerajaan akan berhadapan dengan lebih ramai orang miskin.

15. Justeru di samping usaha meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan juga perlu memberi tumpuan ke arah mengurangkan kos sara hidup. Kerajaan tidak boleh membiarkan pasaran menentukan segala-galanya kerana tiada kapitalis yang tidak cuba memaksimumkan keuntungan. Sebab itu kita memerlukan kerajaan sebagai "pengawal" dan penguatkuasa (regulator)kepada sistem pasaran bebas.

16. Kerajaan juga boleh mengurangkan kos sara hidup dengan membuat revolusi total terhadap sistem pembekalan tenaga elektrik, air, tol, pengangkutan awam, pendidikan dan rumah terutama untuk mereka yang berpendapatan sederhanan dan rendah.

17. Jika kos keperluan asas ini dapat dikurangkan sekaligus ia akan menurunkan kos sara hidup rakyat. Ini akan membolehkan pendapatan rakyat yang biarpun sedikit tetapi mempunyai nilai yang lebih.

18. Saya percaya dengan mengurangkan kos sara hidup, secara langsung ramai rakyat akan keluar dari paras kemiskinan biasa terutama di bandar besar.

19. Selebihnya MEB harus mempunyai rangka kerja khusus dalam memenuhi matlamatnya nanti agar tidak dianggap retorik politik semata dan indah khabar dari rupa.

No comments:

Post a Comment