Wednesday, April 21, 2010

Percayalah kepada pakar bedah otak dan saraf!

BELUM lagi tiba hari mengundi, Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor seperti sebuah filem yang sungguh dramatik. Plotnya menyerupai sebuah hasil seni; bermula dengan eksposisi - memperkenalkan watak calon-calon yang meleset daripada ramalan orang ramai, kemudian diikuti pula peruncingan - dari saat acara penamaan calon yang pada awalnya memperlihatkan pertandingan empat penjuru.

Seterusnya, plot menjadi bertambah menarik dengan penarikan diri dua calon yang bertanding atas tiket Bebas yang berlaku hampir serentak dengan tindakan keluar PKR oleh Bendahari PKR Hulu Selangor serta Ketua dan Timbalan Angkatan Muda Keadilan Shah Alam. Kini situasi drama ini sedang menuju klimaksnya.

Insiden paling menarik dan yang paling wajib menjadi renungan pengundi-pengundi Hulu Selangor ialah perletakan jawatan Datuk Dr. Halili Rahmat. Cuba teliti rekod beliau; anak jati Hulu Selangor, salah seorang pengasas PKR, Bendahari PKR Bahagian, doktor peribadi Penasihat PKR, dan pernah menjadi calon pilihan PKR walaupun kecundang dalam dua pilihan raya di Hulu Selangor.

Kemuncak rekod itu ialah hakikat bahawa secara profesional, Dr. Halili ialah seorang pakar bedah otak dan saraf. Berasaskan semua rekod tersebut, beliau bukan calang-calang orang, malahan boleh dikatakan memiliki pakej yang paling lengkap untuk menjadi pemimpin yang paling cemerlang.

Jika sebelum ini tindakan keluar PKR oleh beberapa orang termasuk yang pernah terlibat mengasaskannya dan diikuti beberapa orang kanan yang lain, ditafsirkan sebagai pembersihan watak dalam parti itu, namun persepsi terhadap tokoh seperti Dr. Halili perlu dibuat dengan penuh bijaksana.

Seorang pakar bedah otak dan saraf tidak boleh disamakan dengan watak-watak lain seperti ahli perniagaan, pengamal undang-undang, dan sebagainya. Kebijaksanaan terletak di otak, dan beliau pakar tentangnya! Hal ini bermakna, pengundi Hulu Selangor wajib percaya dengan pandangan, pemikiran dan tindak-tanduk pakar seperti itu.

Mungkin secara khusus, kebanyakan kita tidak tahu skop tugas utama seseorang pakar bedah otak dan saraf, tetapi kita perlu yakin, orang seperti ini mempunyai kemahiran 'membaca, mentafsir dan membaiki 'otak pesakitnya'. Haruskah kita meragui orang seperti ini?

Tuduhlah Datuk Zahrain Mohd Hashim, Datuk S. Nallakaruppan, Zulkifli Noodin dan sebarisan panjang yang lain itu sebagai sampah atau kekotoran yang ingin dibersihkan oleh PKR tetapi setujukah (dengan benar-benar ikhlas) bahawa Dr. Halili juga sebahagian sampah dan kekotoran itu?

Amat menarik juga di hujung sidang akhbar seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin, beliau membuat perakuan ringkas tetapi sungguh wajar diinsafi. Katanya, beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi seorang doktor, dan sehubungan itu beliau tidak tahu mengutuk atau mengata sesiapa melainkan hanya mahu menyebelahi pihak yang benar.

Secara jujur beliau cuma mengatakan bahawa PKR bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan tetapi lebih condong menjadi parti yang mementingkan kuasa daripada membawa kesejahteraan kepada rakyat. Parti itu juga kini dikuasai sekumpulan kecil pemimpin berfikiran sempit dan berhaluan kiri yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia.

http://www.agendadaily.com/cms/storage/images/com.tms.cms.image.Image_1e45b977-7f000010-1d956ad0-22ad68e5/1/halili.jpg

Berdasarkan pengakuan itu, wahai pengundi-pengundi Hulu Selangor, gunakanlah sepenuh-penuhnya kebijaksanaan otak kurniaan Ilahi untuk menilai 'yang mana intan yang mana kaca'.

Janganlah terikut-ikut dengan nafsu dan rentak naluri semata-mata, terutama seperti mana yang ditunjukkan oleh beberapa kumpulan agresif yang datang dari luar Hulu Selangor.

Di sini bumi yang kita pijak dan di sini juga langit kita junjung. Satu undi yang kita berikan kepada calon yang salah, kitalah yang akan menanggung akibatnya. Tatkala itu berlaku nanti, tukang-tukang sorak itu tidak akan lagi kedengaran suara mereka.

Dr. Sharifudin Lubis,

Kampung Raja Halim,

Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

No comments:

Post a Comment