Thursday, April 8, 2010

Komponen BN perlu kerjasama padu tawan semula Hulu Selangor

Petikan dari Berita Harian 2010/04/08

Komponen BN perlu kerjasama padu tawan semula Hulu Selangor



ADA 10 hari lagi menjelang hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 17 April ini. Siapa calon terbaik mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi itu masih menjadi tanda tanya. Walaupun ada pelbagai spekulasi dan kecenderungan menjaja nama tertentu namun kata putus tetap di tangan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN. Justeru, beliau meminta semua pemimpin dan ahli BN tidak membangkitkan cerita siapa bakal calon untuk pilihan raya kecil itu.

Ada yang lebih penting daripada berdebat atau menjaja nama seseorang untuk menarik perhatian pucuk pimpinan supaya dipilih menjadi calon. Najib mahu mereka menerima apa juga keputusan parti dan bekerjasama memastikan kemenangan calon BN. Beliau ada sebab tegas dalam soal ini kerana sikap merengek atau mengutuk sesama sendiri tidak memberi untung atau menambah kekuatan BN. Sebaliknya, Perdana Menteri mahu sesiapa yang diputuskan sebagai calon mesti diterima dan semua pemimpin serta ahli BN perlu bekerja keras memenangkan calon itu.

Faktor calon di Hulu Selangor memberi kelebihan kepada sesebuah parti untuk menang kerana peluang dan sokongan dianggap terikat 50-50. Justeru, biar pucuk pimpinan menentukan calon terbaik untuk BN berdasarkan asas dan kriteria yang dimahukan pengundi di situ. Lazimnya, calon paling dekat dengan rakyat ada kelebihan untuk menang. Parti yang banyak berjasa juga akan membantu calonnya menang. Lantas, selain calon, rakyat mesti meneliti rekod khidmat dan jasa BN selama 53 tahun mentadbir negara untuk dimasukkan dalam pertimbangan mereka ketika memilih wakil ke Dewan Rakyat itu.

Dua tahun pemerintahan pembangkang di Selangor memberi tempoh yang cukup untuk rakyat membuat perbandingan antara kemampuan BN dan pakatan pembangkang. Semalam Najib mengumumkan calon yang akan bertanding di Hulu Selangor adalah daripada MIC. Walaupun nama calon belum lagi diputuskan, kini semua parti komponen BN sudah boleh memberi tumpuan untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan kepada parti itu. Sesungguhnya, pilihan raya kecil di Hulu Selangor amat penting kepada BN bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat terhadap parti itu. BN memperoleh momentum sokongan rakyat antara lain melalui kemenangan pada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dekat Port Dickson pada 11 Oktober 2009 lalu.

Sokongan rakyat kepada kerajaan kian meningkat apabila Najib mengumumkan transformasi drastik dalam Umno. Kemudian beliau mengumumkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan diikuti dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP). Banyak lagi yang Najib sudah lakukan dalam masa setahun menjadi Perdana Menteri dan rakyat rata-rata menyambut baik transformasi beliau dalam segenap bidang itu. Lantas, momentum itu boleh dijana dan ditangkaskan lagi antara lain melalui kerjasama padu komponen BN bagi memenangi pilihan raya kecil di Hulu Selangor, 25 April ini.

No comments:

Post a Comment