Friday, April 16, 2010

PM: MIC perlu menang di Hulu S'gor

PM: MIC perlu menang di Hulu S'gor
Apr 16, 10 11:29am
MIC, yang sekali lagi diberi kepercayaan bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, perlu menang dalam pilihan raya kecil di situ 25 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata MIC perlu membuktikan yang ia sebuah parti nasional yang berkhidmat bukan saja untuk masyarakat India tetapi juga untuk semua kaum.

"Saya memutuskan (P) Kamalanathan (sebagai calon BN) ialah untuk memenuhi kehendak pengundi tempatan. Ia bermakna apa pandangan rakyat mengenai calon yang sesuai menjadi wakil parlimen (diutamakan).

"Ini yang menjadi perhitungan pertama kerana kawasan Hulu Selangor ini kawasan BN. Kita pinjamkan kepada PKR sementara waktu. Sudah sampai masanya tempoh pinjaman ini ditamatkan dan kembali kepada BN.

"Sebab itu kita mesti letak calon yang boleh menang," kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia di Washington sebelum meneruskan lawatannya ke New York.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Ketua Penerangan MIC PKamalanathan, 44, sebagai calon BN untuk bertanding di situ. Penamaan calon akan diadakan esok.

Najib berkata, walaupun Datuk G Palanivel tidak dipilih semula menjadi calon, tetapi beliau tetap mengiktiraf segala sumbangan timbalan presiden MIC itu.

"Saya tetap iktiraf Datuk G Palanivel sebab dia banyak memberi sumbangan sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri (sebelum ini)," katanya.

Palanivel merupakan ahli parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR yang meninggal dunia 25 Mac lepas akibat barah otak.

Mengenai pemilihan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR kali ini, Najib berkata: "Semua orang kenal Zaid. Tak perlu saya ulas."

Mengenai lawatannya ke Washington, perdana menteri menyifatkannya sebagai yang "paling berhasil" terutama, kerana menurut beliau, sentimen Washington terhadap Kuala Lumpur telah berubah.

Katanya, beliau melihat perubahan sentimen tersebut bukan sahaja pada Presiden Barack Obama dan pentadbirannya tetapi juga di Capitol Hill iaitu dalam kalangan senator serta ahli Kongres dan juga dalam kalangan ahli peniagaan Amerika Syarikat .

Isnin lepas, Najib telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama semasa menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini.

No comments:

Post a Comment